English | Bahasa Melayu

Kursus Kemahiran

Kursus Kemahiran

Kursus Kemahiran ini ditawarkan secara terbuka kepada setiap ahli masyarakat terdiri daripada ibu bapa, pengasuh, guru, penyelia, pelajar peringkat pengajian tinggi, persatuan ibu bapa dan komuniti masyarakat setempat, organisasi swasta, badan bukan kerajaan dan jabatan kerajaan kerana pakej ini disediakan mengikut topik yang bertepatan dengan isu dan keperluan pendidikan semasa. Selain daripada itu, pakej ini dapat meningkatkan ilmu, kesedaran dan kemahiran keibubapaan dengan kaedah yang bijaksana dan berkesan dalam memahami realiti sebenar dunia kanak-kanak dan menangani permasalahan semasa pada peringkat awal kanak-kanak.

KURSUS KEWANGAN DAN PENYELENGGARAAN TASKA/TADIKA

  • Kejayaan dalam menjalankan perniagaan perkhidmatan Taska/Tadika memerlukan pengusaha serta penyelia berkemahiran dalam mengimbangkan pendapatan dengan perbelanjaan untuk memastikan pengaliran dan pengurusan wang secukupnya. Keuntungan boleh dicapai seandainya anda peka dan bijak dalam mengawal pendapatan dan perbelanjaan bulanan di Taska/Tadika. Tempoh perjalanan kursus ini adalah selama 2 hari.

NUTRISI DAN PEMAKANAN AWAL KANAK-KANAK

  • Kesihatan kanak-kanak bermula dengan pemakanan yang berkhasiat dan seimbang. Kursus ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah pengiraan kalori makanan berkhasiat, memilih menu berkhasiat, teknik menyediakan makanan berkhasiat untuk kanak-kanak dan cara menggalakkan kanak-kanak mengamalkan makanan yang sihat. Tempoh perjalanan kursus ini adalah selama 2 hari.

MENGASUH DAN MENGGALAK DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK (SCAFFOLDING)

  • Teknik “scaffolding” adalah teknik untuk mewujudkan ruang dan peluang kepada kanak-kanak meneroka dan mengendalikan cabaran pembelajaran melalui bermain agar proses asuhan dan galakan dalam pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Tempoh perjalanan kursus ini adalah selama 2 hari.

MENGENAL PASTI KEPELBAGAIAN KANAK-KANAK PENDIDIKAN KHAS

  • Semua guru atau ibu bapa yang terlibat dengan kanak-kanak berkeperluan khas perlu mempunyai kelayakan dan latihan yang professional demi memastikan corak pengajaran dan didikan yang disampaikan bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak ini dan memastikan tahap kesediaan kanak-kanak untuk memasuki persekolahan formal dapat dicapai sepenuhnya. Tempoh perjalanan kursus ini adalah selama 2 hari.

KEUSAHAWANAN DAN PELUANG PERNIAGAAN DALAM BIDANG PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

  • Menceburi peluang perniagaan dan keusahawanan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak yang sedang berkembang dengan pesatnya di Malaysia dapat memberi peluang kepada peserta menjadi usahawan yang berpengetahuan tinggi, mahir merancang, menyedia kertas rancangan perniagaan untuk penubuhan Taska/Tadika sendiri dan mempraktiskan pengurusan organisasi yang cekap dan berkesan dalam pengurusan perniagaan Taska/Tadika. Tempoh perjalanan kursus ini adalah selama 4 hari.

PLAY TO LEARN ENGLISH

  • Kursus dalam Bahasa Inggeris ini akan dimulai dengan memperkenalkan konsep belajar melalui bermain menggunakan pendekatan bilik darjah bertema. Ia telah diilhamkan sebagai satu amalan yang berorientasikan amali atau “hands-on” untuk memastikan bahawa proses belajar dan bermain dengan bahasa boleh dijalankan di dalam dan di luar bilik darjah. Tempoh perjalanan kursus ini adalah selama 2 hari.

KELAS PERSEDIAAN PRA-PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

  • Kelas Kemahiran Asas untuk Pendidikan Awal ini bertujuan untuk memberi peluang kepada bakal pelajar-pelajar diploma mempunyai pemahaman terhadap pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak awal. Pelaksanaan kelas bagi program ini termasuk kuliah, aktiviti kelas, penilaian dan projek mini dengan pemberatan sebanyak 40% kuliah dan 60% praktikal. Tempoh perjalanan kursus ini adalah selama 12 hari.